...kenali diri...

...kenali diri...

Wednesday, July 28, 2010

...PerKaMa...

Pada tahun 1980 sekumpulan kaunselor dan mereka yang prihatin akan perkembangan kaunseling dan bimbingan di Malaysia telah bersidang di ITM (kini UiTM) untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Pro-tem yang berusaha menubuhkan sebuah Persatuan Kaunselor Malaysia. Puan Fauziah Elyas (kini Puan Sri) telah dipilih mengetuai jawatankuasa itu.

Pada 19 Januari 1982 Persatuan Kaunselor Malaysia telah didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada tahun 1989 namanya ditukar kepada Persatuan Kaunseling Malaysia. Tujuan utama Persatuan ini ialah “to provide a common professional base for Malaysian Counsellors and professionals in related areas from the points of view of both professional orientation and fellowship” (mengadakan satu asas profesional sepunya untuk kaunselor dan ahli profesional berkaitan di Malaysia, dari segi orientasi profesional dan semangat setia kawan).
Tujuan-tujuan profesional PERKAMA ialah:

1.Memajukan amalan kaunseling secara profesional.

2.Menggalak dan membantu penyelidikan dalam kaunseling.

3.Menggalak pertumbuhan ilmu pengetahuan, kefahaman dan penerimaan kaunseling dalam konteks pelbagai budaya di Malaysia.

4.Memajukan perkembangan profesional ahli-ahlinya.

5.Memperteguhkan identiti, harmoni, dan kerjasama di kalangan ahli-ahli yang terdiri dari pelbagai displin melalui perkongsian maklumat dan pengalaman.

Keahlian PERKAMA dibuka kepada mereka yang berkelayakan dalam kaunseling dan bidang-bidang berkaitan. Mereka yang tidak mempunyai kelayakan yang disyaratkan, diterima sebagai ahli bersekutu atau ahli pelajar.

PERKAMA telah berkembang maju dari setahun ke setahun sejak penubuhannya di bawah pimpinan:

Puan Sri Fauziah Elyas (1982 – 1983),

Prof. Dato’ Dr. Amir Awang (1983 – 1984), (1989 – 1993),

Prof. Dato’ Dr. Abdul Halim Othman (1984 – 1989), (1999 – 2001),

Dato’ Yunus Noor (1994 – 1999), dan

Prof. Dato’ Dr. Hj Mohd Mansor Abdullah (2001 – 2003),

Prof. Dr. Suradi Salim (2003 – 2005),

Tan Sri Dato’ Dr. Nordin Kardi (2005 hingga sekarang)

Sebanyak sepuluh konvensyen telah diadakan di samping penerbitan-penerbitan profesional seperti Jurnal PERKAMA, Suara PERKAMA dan risalah-risalah lain, demi untuk memajukan bidang kaunseling dan bimbingan di Malaysia. Ahli-ahli Persatuan juga aktif dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan dan perundingan, dan berusaha memantapkan keprofesionalan dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling menerusi etika kaunseling yang bertulis, latihan lanjutan, dan penyelidikan.

Kini PERKAMA mempunyai lebih 200 ahli berdaftar (meliputi Ahli Seumur Hidup, Ahli Biasa, dan Ahli Pelajar). PERKAMA sedang berusaha meningkatkan lagi pengiktirafan daripada pihak kerajaan dan majikan swasta tentang perkhidmatan kaunseling dengan cara mewujudkan jawatan-jawatan profesional dalam kaunseling untuk memberi perkhidmatan kepada kakitangan masing-masing. Usaha PERKAMA untuk mendapatkan pengiktirafan dari pihak kerajaan mula berhasil apabila satu jawatan Ketua Pegawai Psikologi dan Kaunseling dilantik di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 1992. Kini Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling di JPA memainkan peranan penting dalam menangani permasalahan kakitangan awam di tempat kerja.

Perkembangan pesat negara kita ke arah masyarakat perindustrian dan perdagangan sudah pasti akan memerlukan perkhidmatan khusus seperti perkhidmatan kaunseling dan perkhidmatan pertolongan lain untuk menangani masalah sosial dan individu. Keperihatinan pihak kerajaan tentang keperluan kaunseling dan pengiktirafan yang wajar dalam masyarakat terbukti apabila AKTA KAUNSELOR 1998 diluluskan oleh kerajaan dan diwartakan pada 1 Disember 1998. Para kaunselor yang ingin berkhimat untuk awam, kini perlu mendaftar dengan Lembaga Kaunselor.

Ini bermakna profesion kaunselor telah diiktiraf setanding dengan profesion lain seperti doktor, arkitek, jurutera dan peguam. Cabaran yang lebih besar akan dihadapi oleh profesion ini pada masa-masa akan datang. PERKAMA akan menjadi sebuah persatuan profesional untuk memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan lagi perkhidmatan kaunseling di negara ini.

Sumber : http://www.perkama.org/

Saturday, July 24, 2010

...Daya Kejayaan Imaginasi Kreatif...


Akal fikiran adalah sumber semulajadi yang paling efektif, akan tetapi sumber ini jarang digunakan setahap dengan kemampuan yang sebenarnya. Otak adalah sebuah komputer ajaib yang boleh menganalisa dan boleh membuat pertimbangan lebih dari komputer sebenarnya. Ia adalah menjadi punca kemampuan manusia yang sungguh besar. Jika kita hanya menggunakan 10% dari kemampuan kita yang sebenar, maka kita sudahpun tergolong dalam kalangan orang-orang yang berjaya. Akan tetapi terlalu sedikit bilangan orang-orang yang berjaya di dunia ini berbanding dengan mereka yang gagal atau sederhana kehidupannya. Ini bermakna terlalu banyak manusia gagal menggunakan walau 10% daripada kemampuan mereka yang sebenarnya.

Berjaya atau kejayaan di sini bukannya soal bersangkutan dengan wang ringgit dan harta kekayaan semata-mata tetapi juga soal tercapainya apa yang dicita-citakan seperti sihat, bahagia, keharmonian rumahtangga, pendidikan, kreatif, pembangunan, berkuasa, berpengaruh dan lain-lain.

Apakah yang dimaksudkan dengan imajinasi kreatif? Ianya ialah Daya Kejayaan. Iaitu suatu gambaran di fikiran tentang keadaan atau suasana yang kita cita-citakan ingin kita jelmakan ke alam nyata ini agar menjadi suatu realiti kehidupan.

Daya Imaginasi inilah yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Kita sebagai manusia dapat merancang dan mengatur kehidupan masa depan dan ianya menjadi suatu tanggungjawab peribadi kita tanpa bergantung kepada daya imaginasi orang lain.

Kita bebas untuk menggunakan daya tersebut untuk merancang kehidupan seperti apa sahaja yang kita ingini. Keinginan itu juga merupakan suatu tenaga yang menimbulkan medan magnet melalui getaran elektrik emosi. Apa bezanya seorang yang berjaya dengan yang gagal? Ada orang berjaya yang gagal. Misalnya jutawan, doktor, penyanyi terkenal, pemimpin terkemuka yang gagal mempunyai rumahtangga yang sempurna atau memiliki kesihatan yang baik. Itulah yang dikata nasib. Ada orang yang mana kejayaan dan nasib sentiasa menyebelahinya hinggakan ia menjadi orang yang benar-benar boleh dicontohi. Inilah yang dikatakan keberkatan.

Ada orang yang mempunyai nasib baik tetapi gagal memanafaatkan nasib dan peluang tersebut hinggakan ia menyesal seumur hidupnya. Hidup dengan berputih mata melihat kejayaan orang lain sedangkan ia suatu masa dahulu berpeluang untuk mencapainya. Bagaimanakah caranya untuk sentiasa bersedia dan berjaya dalam menjayakan segala peluang yang hadir dan boleh pula menciptakan peluang-peluang lain dan membuatkan nasib sentiasa menyebelahinya. Inilah rahsia yang tersembunyi dalam Daya Kejayaan Imaginasi Kreatif.

Daya ini merupakan cara untuk kita mengaktifkan sumber kejayaan yang terpendam dalam diri. Ianya adalah pemerintah kepada daya kemampuan diri. Kita hidup dalam tiga dimensi dan kadang-kadang tersentuh ke dimensi keempat, tetapi alam semesta ini sebenarnya mempunyai lebih banyak dimensi. Dari dimensi-dimensi itulah terletaknya kesempatan-kesempatan yang dapat kita tarik dan digunakan untuk mencapai apa yang kita ingini. Daya inilah merupakan kaedah atau alat untuk membuka saluran-saluran dari dimensi lain yang mempunyai berbagai kekayaan alam semesta yang boleh ditarik.

Thursday, July 22, 2010

...Guru : Cikgu...


Guru kekal sebagai guru, walau berzaman ditelan waktu, walau telah ramai berjaya muridmu, guru tetap di takuk itu. Namun percayalah para guru, jasamu tetap terpahat terpaku, dilubuk hati anak didikmu, walau emas jadi tandinganmu, kau tetap teratas dan nombor SATU.

 

Tuesday, July 20, 2010

...Ilmu vs Harta...



Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan. -Saidina Ali bin Abi Talib

Sunday, July 18, 2010

...Kasih Sayang...


Petang semalam aku ke pasar malam tanjung malim. Semasa berasak-asak dalam keriuhan orang ramai, hati aku tersentuh apabila terdengar perbualan antara seorang bapa dengan anak kecilnya. Mereka berdua berada di belakangku kerana jalan sesak. Dalam perbualan tersebut hati aku tersentuh dengan layanan seorang bapa terhadap anak kecilnya. "papa, kenapa ramai org? , papa nak pergi mana nie? , papa kenapa kat sini panas ? (apabila melalui gerai kebab yang sedang memanggang daging)."

Setiap persoalan si kecil itu dijawab dengan sabar oleh bapanya. Sikap serta ciri-ciri bapa yang baik ada pada lelaki tersebut. Aku kagum dengannya. Begitulah jasa serta pengorbanan seorang bapa terhadap anak mereka sejak dari kecil kecil lagi sehinggalah dewasa. Tetapi apabila besar, ramai di kalangan remaja kini yang seakan-akan lupa pada pengorbanan bapa mereka. Mereka mula bertindak liar dan lupa pada harapan serta matlamat diri serta ibubapa mereka.Salah siapa apabila mereka bertindak sedemikian?? ibubapa, guru, rakan-rakan @ diri mereka sendiri???

Jadi, apakah tugas yang harus dilakukan oleh kaunselor di sekolah untuk mengatasi permasalahan ini. Apa yang perlu diusahakan oleh kaunselor supaya pelajar sedar tentang pengorbanan seorang bapa dan seterusnya berusaha untuk membalas jasa kedua ibubapa mereka. Renung-renungkanlah dan fikirkan cara  penyelesaiannya.......

Saturday, July 17, 2010

...Cabar Diri untuk Berjaya...


Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.


1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi 

Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.  

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain 

Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita. Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa. Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita? 

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati 

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.

4. Soal Diri Dengan Soalan Positif 

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya: Kenapalah aku gagal? Mengapa nasib aku sentiasa malang? Kenapalah orang semua tak suka aku? Apalah nak jadi dengan aku ni? Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan. Apa yang belum aku lakukan lagi? Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan? Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi? Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini? Siapa yang boleh bantu aku? Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda 

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula. Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran. Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya. Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.

...assalamualaikum...

 syukur alhamdulillah Tuhan masih memanjangkan umurku bagi menjalani semester kelima dalam pengajian di sini. semester ini telah dimulai dengan pelbagai cabaran yang semestinya memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. alhamdulillah aku mempunyai teman rapat yang saling berganding bahu dalam susah mahupun senang.

semester semakin bertambah menunjukkan bahawa tanggungjawab kita sebagai bakal kaunselor semakin besar dalam bidang kaunseling ini. segala ilmu tentang kaunseling haruslah dipungut sebanyak mungkin kerana masa semakin suntuk sebelum kita menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

walaupun kita mempunyai banyak kekurangannya, tetapi kita perlu terus belajar dan belajar. pembelajaran dalam kehidupan kita sentiasa berlaku bukan hanya setakat di pengajian ini sahaja bahkan sehingga ke liang lahad. semoga perjuangan kita ini diredhai oleh-Nya. aminn....